SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 Februari ini bagi tarikh pengurusan kes terakhir terhadap seorang pengawal keselamatan warga Indonesia yang dituduh membunuh dan melepaskan tembakan terhadap seorang pegawai AmBank di Subang Jaya, dalam satu kejadian rompakan, tiga bulan lalu.
Tarikh itu ditetapkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli bagi memastikan dokumen-dokumen lengkap berkaitan kes terhadap La Ode Ardi Rasila, 37, diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh diwakili peguam bela S. Selvi yang dilantik Kedutaan Indonesia manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Parimalaah. Peguam bela, S. Prakash pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga tertuduh.
La Ode yang berasal dari Sulawesi, Indonesia, hadir di mahkamah memakai baju T dan seluar panjang berwarna hitam pada pukul 8.50 pagi dengan dikawal ketat pihak polis.
Sementara itu, di luar mahkamah, Parimalaah memberitahu pemberita, dokumen tersebut melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan kimia.
Pada 19 November tahun lalu, La Ode didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh Norazita Abu Talib, 37, di dalam bangunan AmBank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.
Bagi pertuduhan membunuh mangsa, lelaki yang bertubuh sederhana itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan 'pump gun' dengan niat menyebabkan kematian ke atas mangsa.
Pertuduhan kedua itu dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian pada 23 Oktober tahun lalu, Norazita maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.
Pada 10 November tahun sama, pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya memberkas La Ode kira-kira pukul 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan.
Polis turut menemui senjata api jenis pump gun yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, beberapa hari selepas penangkapan lelaki terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan