SELURUH dunia tidak boleh menidakkan kebolehan jurutera Honda dalam mencipta mesin dua roda yang berkualiti. Sejak model pertama CB750 muncul pada 1969, industri motosikal seolah-olah bersetuju menerima penanda aras baru dalam menetapkan pengkelasan jenis tunggangan.
CB750 ternyata sebuah motosikal yang sangat mendahului zamannya. Pengendaliannya stabil, susunan enjin, tahap getaran, pecutan dan ketahanannya meletakkannya antara motosikal 'kalis peluru' dalam eranya.
Tidak hairanlah, kehadirannya telah memonopoli pasaran, meninggalkan Triumph dan Norton yang jauh lebih konvensional. Sejarah berulang kembali sebagaimana kehadiran Toyota Hi-Lux/Land Cruiser yang 'menggantikan' dominasi Land Rover sejak sekian lama.
Pada zaman moden apabila enjin semakin kecil tetapi kian buas dan pantas, Honda telah turut serta dalam pertandingan sengit dalam industri motosikal. Mereka ada 600RR untuk menyahut cabaran Yamaha R6 dan Kawasaki ZXR600. Fireblade 1000R pula bertarung dengan YZF R1, GSXR dan ZX10R.
Rangkaian model CB
Di sebalik keghairahan menghasilkan mesin-mesin replika perlumbaan yang rumit, Honda tidak terlepas pandang produk berharga mereka. Di Malaysia Honda Cub EX5100 mungkin jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia merupakan produk gantian C70 dan C90 (oh ya mungkin Honda Fame) yang sangat berjaya.Namun rangkaian motosikal CB lebih besar seperti CB400 sepatutnya dapat dijadikan komuter harian di sini. Malangnya seperti biasa, dengan cukai dan duti eksais motosikal yang dikelaskan dalam kategori barangan mewah, mana mungkin kita membeli sebuah motosikal yang lebih mahal daripada sebuah Myvi.
Kali terakhir motosikal CB400 spec III yang saya temui di salah sebuah kedai diletakkan dengan tanda harga lebih RM50,000. Oh ya. Ia sebuah model terpakai.
CB400 ialah produk yang sepatutnya mampu menarik minat orang daripada membeli sebuah kereta kepada pilihan menunggang motosikal. Dengan jumlah jualan kereta di Malaysia yang amat stabil, setengah juta unit setahun, tidak mustahil dalam beberapa tahun lagi, infrastruktur jalan raya dan lebuh raya yang ada akan menjadi tepu. Ia akan sampai satu titik di mana tidak ada lagi ruang untuk kereta-kereta itu bergerak.
Lihat sahaja 10 tahun dahulu, kesesakan di lebuh raya adalah sesuatu yang asing. Tetapi hari ini kita terpaksa merancang perjalanan dengan betul agar tidak tersangkut berjam-jam di atas lebuh raya bila pulang ke kampung.
Teknologi VTEC Honda
Baiklah. Apa kaitan infrastruktur dengan CB400? Ini ialah sebuah motosikal yang saya pilih untuk dijadikan model kepada komuter pengangkutan pilihan menggantikan kereta. CB400 ialah motosikal entry level yang sangat mudah dikendalikan, hatta untuk mereka yang pertama kali menunggang sebuah naked berkuasa tinggi.
Enjin 399cc yang dipasangkan pada model itu mencakupi banyak variasi. Begitupun, variasi seawal Project Big One mungkin kurang dikenali di kalangan super Four itu. Kebanyakan peminat motosikal merujuk kepada model VTEC bermula daripada spec I hingga III.
Projek motosikal itu mengejutkan industri dengan teknologi VTEC Honda yang diperkenalkan padanya. Dikenali dengan HYPER VTEC dan diperkenalkan buat pertama kalinya pada 1999, konsepnya hampir sama dengan aplikasi pada kereta berenjin VTEC.
Maksudnya, daripada empat injap yang bergerak pada enjin, dua daripadanya 'direhatkan' semasa enjin berputar di bawah 6,700rpm. Kemudian, enjin akan meraung semula selepas berputar di atas 6,700rpm yang menjadikannya enjin dua dalam satu. Perlahan dan eknomikal untuk komuter harian dan menghamburkan kuasanya jika enjin dikerah secara paksa.
Sering berdoa
Pada 2002, Honda memperbaharuinya dengan Hyper VTEC II. Ia adalah rentetan kejayaan pertama, namun menyedari tidak ramai yang dapat menggunakan sepenuhnya teknologi akibat talaan putaran berada terlalu tinggi, ia dilaras semula dengan lebih rendah, 6300rpm. Jadi fungsi injap VTEC itu berada lebih awal. Dengan penalaan dan penyesuaian yang lebih terperinci, tahap ekonomikal model Spec II berjaya ditingkatkan. Pada 2004, Hyper VTEC III diperkenalkan dan menjadi generasi Super 400 paling maju pernah dihasilkan. Membuktikan bahawa pembangunan motosikal Honda tidak hanya terletak pada model-model lasak mereka.
Tidak banyak perubahan ketara yang dilakukan terhadap variasi Hyper VTEC. Sejak 10 tahun lalu, model itu sudah pun dimajukan sistem pengendaliannya. Model terkini dipasangkan dengan penyerap hentak Showa di belakang dan fork yang sama untuk suspensi hadapan. Ia lebih daripada cukup untuk mengawal motosikal seberat 180kg.
Sistem breknya juga nyata tidak menghampakan. Model itu dipasang dengan cakera 285mm di hadapan dengan empat pengangkup. Sementara bagi model dengan opsyen sistem brek anti kekunci ABS, di belakangnya ialah cakera 235mm dengan pengangkup tiga omboh.
Enjin 399cc bentangan DOHC itu mampu menghasilkan 53 kuasa kuda dan 38Nm tork. Ia adalah hasil gabungan sistem suntikan PGM-F1, teknologi kereta yang telah diguna pakai sejak 90-an lagi. Bagi kebanyakan pemiliknya, setangki petrol 18 liter yang mampu membawa sehingga 400km ialah satu angka yang munasabah. Ia jauh lebih jimat daripada sebuah kereta berenjin sederhana dan tidak terlalu pelahap seperti sebuah sportsbike.
Saya sering berdoa satu hari nanti akan ada sebuah motosikal yang sama karekteristiknya dengan Kawasaki ER6N dijual pada harga lebih munasabah. Ia perlu mampu dimiliki dan harus lebih murah daripada sebuah Proton Saga.
Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula struktur cukai sedia ada agar kita dapat memberi pilihan kepada penduduk kota memilih pengangkutan yang efisien. Saya percaya ramai di luar sana yang tidak langsung menyimpan cita-cita membeli Hayabusa atau ZX14. Mereka cuma mahukan pengangkutan dua roda yang lebih berkuasa dan selamat ditunggang.
tambahan: absorber yg digunakan adalah dari jenis SHOWA yg digunakan oleh RockoilMotorgroup.
Disclaimer: Dipetik dari sumber Kosmo Online-Honda CB400 selangkah dihadapan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan