Setelah sekian lama aku tak menjelajah akhirnya aku membuat keputusan untuk pergi ke tempat baru yang sememangnya belum pernah aku pergi. Betong, satu kawasan yang agak terpencil di pedalaman sarawak tetapi agak lengkap kemudahannya. Perjalanan ini sebenarnya tidak dirancang sama sekali tetapi kebetulan apabila seorang kawan perlu balik ke kampung halamannya di Betong atas urusan perniagaan.
Disini aku nak share sedikit sebanyak pengalaman meneroka kawasan baru bagi diri aku. Perjalanan bermula bila kawanku ingin balik ke kampung untuk menghantar barangan yang dipesan oleh abangnya selaku boss kepada dia dan juga menemui isteri dan keluarganya. Pada mulanya perjalanan kami adalah pada hari Jumaat selepas sembahyang Jumaat tetapi gagal oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Keesokan harinya iaitu pada hari sabtu dengan tidak semena-mena kawanku menelefon ku untuk bersedia memulakan perjalanan. Selepas sahaja makan tengahari kami pun bertolak dari Kuching menaiki kereta Viva yang dipunyai oleh Adi iaitu kawanku. Dengan kelajuan tidak melebihi 120km/j perjalanan kami agak lancar kerana sewaktu kami memulakan perjalanan tidak banyak lori-lori balak yang selalunya memenuhi jalanraya yang agak sempit itu. Mungkin mereka tidak bekerja pada hari sabtu itu. Setelah melalui Serian akhirnya kami tiba dilokasi pertama iaitu Sri Aman. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam dan kami hanya berhenti untuk berehat sebentar sebelum meneruskan destinasi kami iaitu Betong. Agak letih kerana keadaan jalan yg mencabar dan juga beralun-alun.
Hanya beberapa minit selepas itu kami teruskan kembali perjalanan menuju ke Betong. Lain pula keadaan traffic jalanraya dari Sri Aman kerana sangkaan saya meleset, lori-lori balak bergiat aktif pada tengahari itu dan membuatkan perjalanan kami agak perlahan kerana perlu lebih berhati-hati ketika memandu. Menaiki dan menuruni bukit yang kerap membuatkan kami keletihan dan berehat diatas bukit untuk menyegarkan badan sambil mengirup udara yang segar dan sejuk disitu. Ketika ini saya terlihat sebuah lori treler yang membawa jentera berat berasap kerana keadaan enjin yang memaksa untuk menaiki bukit yang tinggi. Selepas 10 minit kami teruskan lagi perjalanan dan akhirnya kami sampai di pekan Betong. Namun kami tidak singgah dipekan Betong kerana lokasi sebenar ialah di Sepaoh iaitu didalam daerahnya.
Setelah sampai dirumah Adi, aku dijamu oleh makanan-makanan yang enak dan agak pelik corak masakannya, tetapi tetap sedap dan memuaskan. Aku bermalam dirumah kawanku kerana keletihan menghabiskan perjalanan selama 4 jam melalui jalan yang mencabar. Keesokan harinya pula Adi membawa aku ke pesta lumba perahu panjang dimana mereka bertanding mengikut kampung masing-masing dan juga menggunakan perahu yang direka khas menggunakan kayu yang terpilih. Aku dimaklumkan kayu yang digunakan untuk membuat perahu itu adalah sukar dicari dan cara menebangnya agak unik. Pokok yang ditebang untuk membuat perahu itu tidak boleh terbaring ke tanah bila tetakan terakhir, kerana untuk memastikan pokok yang dipilih adalah yang tepat dan juga mengikut tradisi lama. Agak pelik tetapi itulah cara yang sebenarnya meraka lakukan supaya perahu yang siap direka nanti mempunyai spesifikasi khas iaitu laju dan ringan. kenyataan ini benar kerana aku ada bertanya kepada beberapa orang lama-lama cara memilih pokok untk dibuat perahu. Sampai sahaja ditempat pesta lumba itu aku lihat sesak dengan kehadiran penduduk-penduduk kampung untuk melihat peserta dari tempat mereka bertanding dan memberikan semangat. Terharu aku melihat semangat kesukanan mereka melalui kehadiran yang begitu ramai sekali. Mereka yang hadir adalah terdiri dari semua golongan muda-mudi, dewasa dan juga orang tua-tua.
Pada hari yang sama Adi membawa aku ke lokasi seterusnya iaitu Saratok. Tidak sangka aku boleh sampai ke tempat yang tidak pernah aku terfikir. Perjalanan mengambil masa sejam. Tujuan ke saratok adalah hanya untuk membeli barang-barangan pasar seperti sayur-sayuran dan juga makanan basah seperti ikan dan juga daging. Kebanyakan jenis sayuran adalah dari sumber hutan dan jarang terdapat seperti dipasar-pasar di semenanjung. Ikan-ikan masin juga adalah dari pelbagai jenis ikan termasuk ikan buntal. Hehe macam tidak logik jer ikan masin buntal. Aku sempat membeli beberapa paket kecil ikan buntal masin untuk dibawa pulang ke kampung nanti.
Balik sahaja dari pasar Seratok Adi dan seisi keluarganya menyediakan makanan untuk tengahari. Antara menu yang menarik adalah ikan masin buntal goreng dan juga ayam pansuh. Ayam pansuh? ermmm..penyediaanya adalah mudah cuma memerlukan buluh lemang kerana ayam itu dimasak didalam buluh dan juga ramuan khas. Setelah ayam itu dikeluarkan dari buluh dan dihidangkan, lauk pertama yang aku ambil adalah ayam pansuh kerana ingin tahu bagaimana rasanya. Memang lazat daging ayam tersebut lembut dan rasanya penuh hingga kedalam daging tambah pula ikan buntal masin goreng. Phewww memang sedap, rasanya aku nak buat sendiri selepas ini InsyAllah.
Pada petang ahad dalam pukul 4 petang aku dan Adi sedia untuk pulang ke Kuching tetapi akan singgah ke Lubok Antu untuk menghantar adiknya kembali ke tempt kerjanya iaitu di Dam Batang Ai. Dipendekkan cerita apabila sampai sahaja di Batang Ai aku terkejut kerana lokasi yang dituju adalah loji bekalan tenaga elektrik. Sempatlah juga aku mengambil gambar dikawasan atas Dam itu, pemandangan yang sangat cantik kerana keluasan kawasan takungan dan juga airnya yang berwarna biru. Selepas puas bergambar kami pun terus pulang kerana hari sudah agak senja. Memandu ketika malam di jalan Betong-Serian adalah bahaya kerana dikatakan terdapat gangguan dari penjenayah yang sengaja meletakkan halangan ditengah jalanraya contohnya besi, kayu dan juga apa-apa yang boleh menghentikan kenderaan. Kami tiba didestinasi Kuching tepat pada pukul 830 malam.
Inilah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsi sepanjang perjalanan ke Betong Sarawak.